Header Ads Widget

Perebutan Naib Juara Liga Super kian sengit.


Kekalahan 0-1 Terengganu FC di tangan Kuala Lumpur City FC selain kemenangan 2-1 Penang FC ke atas PJ City FC pada dua perlawanan Liga Super yang ke-20 pada Ahad menjadikan persaingan bagi merebut kedudukan naib juara Liga Super kian sengit.

Buat masa ini Kedah Darul Aman FC masih mempunyai kelebihan kerana akan mengharungi dua perlawanan yang sebelum ini ditunda selain mendahului satu mata ke atas Terengganu FC dan Penang FC.

Buat pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain, beliau menjelaskan pasukannya sudah melakukan yang termampu untuk cuba meraih 3 mata pada pertemuan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur namun dihampakan dengan ketumpulan penyudah dengan lawan lebih bijak mengambil peluang yang terhidang.

“Kami datang sini dengan harapan memburu tiga mata dan kita gagal, sememangnya dari kedudukan saya sedar pasukan di bawah kita seperti Penang, Selangor sedang mengejar namun kita kalah dalam dua perlawanan terdekat iaitu kepada Kedah dan Kuala Lumpur.

“Saya faham harapan penyokong yang hendak kami menang, begitu juga dengan pemain serta saya dan barisan pengurusan, cuma keputusan nyata tidak sebelahi kami.

“Kalau kita tengok cara kita kalah, persembahan yang ditunjukkan pemain tidak sepatutnya kita kalah dalam dua perlawanan lalu cuma lawan bijak ambil kesempatan apabila dapat menyudahkan peluang manakala kita tidak menjaringkan gol semasa ada peluang, itulah bola sepak dan kita dihukum atas silap kita sendiri,” katanya.

Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal ketua pasukan KL City FC, Paulo Josue pada minit ke-29 memastikan tuan rumah berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah di laman sendiri pada musim ini.

Situasi itu membuka ruang kepada Penang menyamai pungutan mata dengan Terengganu tetapi berada di tempat keempat ekoran perbezaan jaringan dengan yang menyebelahi skuad kendalian Nafuzi Zain.

Menurut ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha, tiga mata yang diperolehi itu bukannya sesuatu yang mudah memandangkan lawan berjaya menghadirkan tentangan sengit di separuh masa kedua.

Namun, beliau lega perubahan taktikal yang dilakukannya dengan membawa masuk beberapa pemain pertahanan seperti Ryuji Utomo membuahkan hasil bagi menyerap asakan lawan pada 20 minit terakhir permainan.

“Biarpun bermula dengan baik apabila berjaya mendapatkan jaringan pertama dan selepas 20 minit waktu permainan, kami mula buka ruang kepada PJ City.

“Mereka berjaya mendapatkan beberapa peluang dalam situasi sepakan percuma dan penjuru, kami bernasib baik berjaya mendapatkan jaringan kedua sebelum babak pertama berakhir yang membuatkan kami mampu harungi di babak kedua.

“Kami ada peluang mendapatkan meraih gol ketiga tetapi tidak melakukannya dan lawan berjaya mendapatkan satu gol berpunca daripada kesilapan kami.

“Selepas itu, saya membuat beberapa pertukaran dengan fokus di bahagian pertahanan kerana lawan semakin memberikan tekanan, saya rasa ini membantu pasukan mencapai keputusan ini.

“Bagi saya, pemain tidak perlu rasa gementar sebegini kerana mungkin mereka juga melihat persembahan serta keputusan pasukan lain memandangkan semua orang mahukan meraih sebaik yang boleh dalam kedudukan liga sama ada di tempat kedua hingga keenam, peluang masih terbuka.

Casagrande meledak jaringan gol peribadi yang ke-11 pada musim ini pada minit ke-4 sebelum Sheriddin Boboev menambah gol kedua pada penghujung babak pertama berakhir.

P. Rajes merapatkan jurang buat PJ City pada minit 64 namun itu belum cukup menghalang Penang meraih kemenangan ke-11 di pentas Liga Super pada musim ini.

-- MFL

Post a Comment

0 Comments