Header Ads Widget

Harry Kane mahu buktikan kehebatannya.

Harry Kane bangkit menepis kritikan terhadap prestasinya dalam saingan Euro 2020 dengan menegaskan dirinya layak berada dalam barisan England.

Mutu permainan penyerang England itu tetap dipertikaikan meskipun menjaringkan gol pertamanya pada kejohanan itu ketika The Three Lions menewaskan Jerman 2-0 dalam pusingan 16 terbaik.

Pengendali England, Gareth Southgate turut memberi bayangan betapa kapten pasukannya itu bakal mengikut jejak Alan Shearer yang menunjukkan kebangkitan ketika saingan Euro 1996.

Kane, 27, berkata: "Saya bermain di padang bersebab, jadi sudah tentu orang di luar sana, penyokong, pengulas dan media turut mempunyai pendapat masing-masing.

"Tetapi saya yang berada di sini, saya yang melakukannya dan saya juga adalah satu-satunya mempercayai 100 peratus terhadap kemampuan diri serta berusaha gigih untuk berada di kedudukan ini.

"Saya bukan disenaraikan di atas padang untuk alasan lapuk, sebaliknya berusaha gigih sepanjang hidup dengan mendedikasikan seluruh hidup untuk berada di sana. 

"Jadi, apabila saya di luar sana (padang), saya begitu fokus, terutama sebagai seorang penyerang.

"Mungkin apabila kamu tidak menjaringkan gol atau peluang belum lagi hadir, (kamu) hanya perlu bersedia untuk yang akan datang dan itulah yang berlaku."

Kane turut mempertahankan prestasi keseluruhannya selepas bekas bintang England, Shearer, Rio Ferdinand dan Jamie Carragher mendakwa dirinya tidak melakukan secukupnya untuk pasukan dalam empat perlawanan setakat ini.

Bintang Spurs itu berkata: "Saya kapten pasukan ini, jadi saya cuba memimpin dengan memberikan teladan, bukan hanya dengan bola atau tanpa bola, sama ada ia berkaitan percakapan ataupun membantu yang lain."

Kane turut mendedahkan, dirinya memberikan motivasi secara 'hati ke hati' kepada pemain setiap kali sebelum perlawanan bermula.

"Ia mengenai untuk menjadi lebih daripada hanya sebagai seorang penjaring gol. Saya mempunyai tanggungjawab terhadap pasukan.

"Banyak yang cuba saya lakukan. Kata-kata (kritikan) luar, itu hanya kata-kata. Saya memberi banyak tumpuan kepada perkara lain."

Southgate dijadual bakal menyenaraikan Kane yang berbekalkan satu gol di pentas Euro 2020 untuk pertembungan suku akhir bertemu Ukraine di Rom nanti.

Bekas penyerang England, Shearer tiba di Euro 1996 tanpa menjaringkan gol selepas dua tahun, namun memenangi Anugerah Kasut Emas selepas meledak lima gol.

Post a Comment

0 Comments