Header Ads Widget

Stokin pendek gerunkan lawan

Ketika beraksi di pusingan kelayakan Olimpik 1972, nama Datuk Soh Chin Ann atau lebih popular dengan gelaran 'Tauke' sudah meniti di bibir pemain negara lain, begitu juga di kalangan jurulatih atau pengurus.

Chin Ann bukan saja dikenali sebagai pemain pertahanan tengah yang kental dan sukar ditembusi penyerang lawan tetapi juga sebagai pemain berstokin pendek, hanya diatas buku lali berbanding pemain lain di bawah paras lutut.

Beberapa rakan sepasukannya termasuk Rahim Abdullah, Datuk Namat Abdullah dan Hamzah Hussein yang pernah ditemuramah BH juga mengakui perkara itu dan mereka menegaskan itulah 'trademark' Chin Ann.

Imej itu cukup sinonim dengannya termasuk ketika berlangsungnya temasya Olimpik di Jerman Barat dan Tauke tidak pernah menukar imej itu sehinggalah bersara.

"Saya tidak pernah mengalami kecederaan serius. Yang penting, bagaimana kita jaga kaki dan kekalkan corak permainan. Memang saya tidak selesa pakai stokin panjang," katanya.

Baginya, memakai stokin pendek membuatkannya berasa lebih selesa tanpa mengira sama ada beraksi ketika cuaca panas atau sejuk walaupun ada yang beranggapan dia tidak berdisiplin, namun apa yang penting baginya ialah konsisten dengan corak permainan sendiri.

"Itu memang kerja kami di bawah (pertahanan), kita mesti cepat dan pantas keluarkan bola dari kawasan bahaya," katanya mengulas mengenai gerakan pantas dan terjahan keras pemain pertahanan negara.

Bahkan, ketika aksi pembukaan Kumpulan A menentang tuan rumah, Jerman Barat, lawan buntu jaringan sepanjang babak pertama kerana gagal menembusi benteng negara.

Jerman Barat menukar taktik di babak kedua dengan lebih banyak mengatur gerakan daripada sebelah kiri dan kanan sebelum mereka menang 3-0.

Baginya, pengalaman beraksi di Olimpik 1972 dan layak ke Olimpik 1980 di Russia adalah pengalaman dan detik terbaik diraihnya sepanjang bergelar pemain bolasepak.

"Beraksi dalam semua perlawanan di Olimpik 1972 berdepan Amerika Syarikat (AS), Maghribi dan Jerman Barat sememangnya menjadi impian mana-mana pemain di dunia.

"Kami melalui kejutan luar biasa dalam saingan berprestij terbabit terutama berdepan dengan pemain terbaik dunia dari Jerman Uli Hoeness dan Reiner Hollman.

"Lebih manis kami menang 3-0 ke atas AS, tetapi kini mereka bukan lagi tandingan kita. Walaupun tewas 0-6 kepada Maghribi dan 0-3 kepada Jerman, ia menggambarkan bolasepak Malaysia setanding skuad jagoan dunia," katanya.

Sehingga kini, Chin Ann mengakui amat berpuas hati dengan pencapaiannya termasuk ketika membantu negara melayakkan diri ke Munich selepas menumbangkan jaguh Asia terutama Jepun, Korea Selatan selain Filipina dan Taiwan.

"Bolasepak memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi selain pemain sentiasa perlu belajar. Lebih banyak kita beraksi, lebih banyak ilmu dan pengalaman kita dapat.

"Bermain bolasepak ini ibarat satu pertarungan dan peperangan taktikal di padang dengan maruah menjadi pertaruhan.

"Ini soal maruah negara dan pasukan, sebab itu kami bermain untuk menang, bukan untuk kalah," kata Chin Ann ," katanya yang begitu mengimpikan Malaysia layak kali untuk ke tiga ke Olimpik.

Atas semangat itulah, katanya pemain pasukan kebangsaan di era 70-an, 80-an terutama skuad Olimpik 1972 dan 1980 sentiasa menganggap sesuatu perlawanan itu cukup penting, seolah-olah ia adalah soal hidup dan mati.

"Jika kalah 1-0 pun, kami akan menerima akibat yang sangat besar. Kami akan dikutuk dan dikritik hebat di dalam dan luar stadium oleh penyokong setia bolasepak negara.

"Malah kami tidak berani keluar rumah hampir seminggu jika kalah teruk. Peminat akan mengutuk pemain sehingga kami tidak mampu melangkah keluar ke kedai kopi. Penyokong sangat penting dalam membangun bolasepak negara ketika itu," katanya.

Faktor peminat dan maruah negara itulah yang membuatkan Chin Ann sentiasa bersaing merebut tempat dan berusaha mencapai kejayaan tanpa mengharapkan soal ganjaran.

Walaupun elaun yang diterima sangat kecil, namun mereka berbangga dapat menyarung jersi negara malah tidak pernah merungut atau kecewa.

"Terpilih mewakili Malaysia itu sebenarnya satu bonus. Kami hanya menerima elaun RM10 jika beraksi di luar negara dan RM5 setiap perlawanan jika beraksi di gelanggang sendiri. Tetapi itu bukan halangan.

"Jika kami fikirkan soal duit, tentunya Malaysia tidak akan layak ke Olimpik," katanya yang menjalani latihan sendiri pekan Alor Gajah, Melaka semata-mata mahu mengekalkan stamina.

Ketika era awal pembabitan dalam bolasepak untuk Melaka dan negara, Chin Ann akan berlari mengelilingi pekan itu seawal jam 6 pagi hingga ke Gadek, Rembia dan Pengkalan untuk meningkatkan stamina tanpa menunggu arahan sesiapa demi untuk meningkatkan prestasi diri. 

Bahkan, Tauke juga sanggup berlari empat kilometer setiap hari untuk latihan di padang Pahlawan, Bandar Hilir, meskipun laluan dari Bandar Melaka mempunyai bas dengan harga tambang 25 sen.

"Ini soal semangat, soal kesungguhan. Kita kena fokus 200 peratus kalau betul-betul nak main bolasepak," katanya yang berbangga kerana lapan pemain di daerahnya terpilih menyertai skuad Melaka Soh Chin Leh. 

FAKTA NOMBOR:

RM10 - elaun satu perlawanan di tempat lawan

RM5 - elaun beraksi di dalam negara 

Pencapaian:

Mewakili Selangor (1970-1980); Melaka (1981-1989); Malaysia (1970- 1985) dan Pingat Gangsa Sukan Asia Tehran 1974; Olimpik 1972 dan 1980, Pembawa Obor Olimpik Sukan Olimpik Athens 2004 dan anugerah 'Hall of Fame' Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Info: Penerima 'Hall of Fame' Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)

Soh Chin Ann (Malaysia); Homayoun Behzadi (Iran); Yasuhiko Okudera (Jepun); Sun Wen (China); Hong Myung-bo (Korea Selatan); Ali Daei (Iran); Sami Al Jaber (Arab Saudi); Baichung Bhutia (India) dan Harry Kewell (Australia). 

Artikel ini dikeluarkan Berita Harian pada Jun 5, 2016 oleh Nazri Abu Bakar.

Post a Comment

0 Comments