Header Ads Widget

Perlawanan Liga Perdana ditangguhkan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk menangguhkan saingan Liga Perdana (Liga Premier) yang dijadual bersambung pada 3 Julai ini, ke suatu tarikh akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata keputusan itu dibuat susulan saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berikutan situasi semasa kes harian COVID-19 masih berada pada tahap membimbangkan.

Penangguhan itu turut melibatkan perlawanan tertunda Perak FC II bertemu Kelantan FC yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 29 Jun, serta Selangor FC 2 menentang Sarawak United yang sepatutnya diadakan pada 30 Jun.

"Ini kerana Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Sekretariat Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi telah memberikan pandangan kepada MFL supaya menangguhkan sementara perjalanan Liga Perdana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

"Bagaimanapun, program latihan berpusat mengikut model gelembung sukan secara 'camp-based training' termasuk perlawanan latihan tertutup dibenarkan selaras SOP yang dikeluarkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi MFL.

Dato’ Ab Ghani berkata keputusan itu dan perkembangan terkini mengenai perjalanan Liga Malaysia 2021 sudah dimaklumkan kepada semua pasukan semasa sesi taklimat dalam talian bersama ketua pegawai eksekutif kelab-kelab Liga Super dan Liga Perdana yang dipengerusikan beliau semalam.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani turut menyatakan bahawa tiada perubahan bagi jadual Liga Super 2021.

“Keputusan pindaan tarikh ini hanya melibatkan pasukan Liga Premier di mana Liga Super akan kembali bersambung pada 24 Julai 2021.

“Namun seperti saya katakan tadi status Liga Malaysia tertakluk kepada arahan terkini pihak kerajaan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments