Header Ads Widget

Perlawanan getir Sepanyol vs Croatia

Khabar gembira buat Sepanyol hadir serentak dengan lima gol dihasilkan ketika mereka membelasah Slovakia awal pagi Khamis lalu waktu Malaysia, sekali gus menyelamatkan La Roja daripada tersingkir awal dan mengembalikan harapan mampu memenangi Euro 2020.

Pengendali pasukan, Luis Enrique berkata mereka akan menerima apa-apa kedudukan dalam Kumpulan E selagi Sepanyol meneruskan kemaraan, namun kenduri gol di Seville menukar jangkaan selepas 60 minit.

"Hanya seperti itu," tulis Marca di tajuk utamanya manakala AS menyebut: 'Mohon untuk percaya'.

Sama ada sikap optimis itu bertahan lama akan bergantung kepada keputusan di Stadium Parken di sini, awal pagi Selasa ini waktu Malaysia apabila berdepan Croatia, finalis Piala Dunia yang juga semakin meningkat dalam kejohanan kali ini. 

Croatia juga layak dari tangga kedua dan pastinya memberikan ujian lebih sukar berbanding Slovakia, yang menampilkan persembahan paling buruk daripada mana-mana 36 perlawanan peringkat kumpulan.

Laluan ke final pastinya lebih berliku. Perancis mungkin akan menanti di suku akhir atau juga Itali, Belgium atau Portugal di separuh akhir.

Croatia mungkin satu kelas di bawah pasukan-pasukan berkenaan namun mereka berada satu tahap di atas skuad sudah dihadapi Sepanyol setakat ini dengan pemain tengah mereka, Luka Modric, Marcelo Brozovic dan Mateo Kovacic mampu memberikan ancaman dengan pantas.

Bagaimanapun Sepanyol tampak ada peningkatan dalam langkah mereka, tidak kira bagaimana mereka menemuinya. Kejayaan di sini akan memberikan momentum diperlukan.

Ia akan memberikan negara berkenaan tempat di suku akhir pertama kali dalam kejohanan utama sejak menang Euro pada 2012.

"Ia jelas sesuatu yang melegakan. Bukan hanya kepada saya, tapi apa maknanya apabila anda terus kekal dengan idea bola sepak yang sama dan anda melihat boleh mendapatkan keputusan dengannya," kata Enrique. 

"Keputusan ini hadir pada saat paling baik dan ia memberikan kami persiapan bagi menghadapi apa yang akan mendatang." 

Post a Comment

0 Comments