Header Ads Widget

Nama legenda disalah eja

Datuk Soh Chin Aun. Kredit Foto: Melakakini.

Sehingga hari ini Dato’ Soh Chin Ann tidak faham mengapa nama beliau disalah eja sebagai Chin Aun.

Namun nama itu gah selaku antara pemain pertahanan terbilang di benua Asia sepanjang 1970-an.

“Apabila saya bertanyakan kepada rakan-rakan media, mereka seolah-olah memandang ringan.

"Mungkin ketika itu mereka berasakan nama saya seperti nama perempuan.”

Akhbar di Malaysia dan Singapura mencatat nama beliau sama ada Chin Aun atau Chin Ann tanpa keseragaman.

Yang pasti, gelaran Tauke melekat di wajahnya atas sebab penampilan sebagai bek tengah yang tenang mengawal keadaan, dengan kepantasan semula jadi serta bijak merancang gerakan ke kubu lawan sepanjang dekad 1970-an.

Terpilih untuk pasukan negara pada Piala Raja-Raja Thai di Bangkok pada 1969 ketika masih cukup muda untuk mewakili barisan remaja Malaysia ke Kejohanan Asia AFC pada 1969 dan 1970, Chin Ann melakar kerjaya yang berwarna-warni sehingga persaraannya daripada pentas antarabangsa pada 1984.

Susulan persaraan bek tengah M. Chandran dan disusuli bek kanan Namat Abdullah (kedua-duanya bergelar Dato’), Chin Ann diberi penghormatan untuk memakai lilitan kapten bermula 1975 hingga persaraannya pada pra-Piala Asia pada Oktober 1984. (Rekod menunjukkan Chin Ann membuat 252 penampilan antarabangsa, dipercayai termasuk perlawanan bukan berstatus A).

BACA: Data dan rekod Datuk Soh Chin Aun.

Sekalipun menjadi satu-satunya individu yang menganggotai pasukan negara untuk dua Sukan Olimpik (1972 dan 1980), memori paling manis buat Chin Ann ialah menjadi teras kepada skuad negara bimbingan Jalil Che Din yang mengutip pingat gangsa di Sukan Asia Teheran pada 1974.

Chin Ann berjinak-jinak dengan politik sehingga tewas dalam saingan merebut kerusi Parlimen kawasan Kota Melaka pada Pilihanraya Umum 1986. 

Namun legasinya dalam bolasepak kekal harum.

Kredit info grafik: Team Malaysia

Sumber dan Kredit : FAM

Post a Comment

0 Comments