Header Ads Widget

Mulller tidak mahu rakan sepasukan 'besar kepala'


Penyerang Jerman, Thomas Mulller memberi amaran kepada rakan sepasukannya agar tidak 'besar kepala' selepas menewaskan juara bertahan, Portugal 4-2, sekali gus merekodkan kemenangan pertama dalam saingan Euro 2020.

Cristiano Ronaldo meletakkan Portugal di depan tetapi gol sendiri daripada Ruben Dias dan Raphael Guerreiro memberi kelebihan kepada Jerman. 

Kai Havertz dan Robin Gosens kemudiannya menjadikan kedudukan 4-1 untuk babak kedua.

Diogo Jota meledak gol kedua Portugal tetapi Jerman berhak dengan kemenangan itu untuk kembali bangkit selepas tewas di tangan Perancis dalam aksi pembukaan.

Muller, 31, teruja dengan prestasi cemerlang ditunjukkan pasukan itu tetapi memberi amaran kepada rakan sepasukan yang mereka masih perlu memperbaiki kelemahan dan tidak dibuai dengan kemenangan ke atas Portugal.

"Kami bermain dengan baik tetapi masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Ia penting untuk kami mengutip mata. Kini, kami sudah mempunyai tiga mata dan nasib kami terletak di tangan kami sendiri.

"Kami tidak boleh terlalu yakin atau menjadi sombong. Namun, kami perlu percaya dengan kualiti kami," katanya.

Kemenangan itu membolehkan Jerman berada di kedudukan kedua Kumpulan F, satu mata di belakang pendahulu, Perancis yang sekadar seri 1-1 dengan Hungary. 

Portugal yang turut mengumpul tiga mata berada di tangga ketiga kumpulan.

Jerman akan bertemu Hungary pada aksi terakhir kumpulan di Allianz Arena, awal pagi Khamis ini.

Post a Comment

0 Comments