Header Ads Widget

Legenda Jerman akui England boleh menang tapi dengan syarat.

Legenda Jerman, Lothar Matthaus mengakui England berpeluang memenangi pertemuan menentang Jerman dalam aksi pusingan 16 saingan Euro 2020 - asalkan perlawanan tidak diheret ke sepakan penalti penentuan.

Dia melihat England memiliki peluang terbaik untuk mengetepikan seteru lama mereka itu namun masih dihantui kegagalan sepakan penalti penentuan pada masa lampau.

"England ada peluang untuk menang tetapi tidak dengan sepakan penalti. Kalau penalti, saya yakin Jerman akan menang. Jadi mereka (England) perlu menang dalam tempoh 120 minit.

"Kami sentiasa bagus dalam penalti. 

"Kalau ia perlu ditentukan dengan penalti, saya berpendapat Jerman adalah pilihan kerana anda perlu lihat apa yang berlaku dalam 30, 40 tahun sebelum ini, 1996 dan beberapa penalti yang lain.

"Ini adalah satu tekanan yang besar kepada pemain England - mereka membaca surat khabar dan mereka tahu cerita mengenai sepakan penalti.

"Tetapi anda pun tidak boleh terlalu negatif dan pesimistik. 

"Anda perlu optimistik untuk masa depan.

"Apabila anda melihat England, mereka ada pemain hebat yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kelab terbaik di seluruh dunia. 

"Pemain mereka menang trofi dengan pasukan masing masing.

"England pun menunjukkan persembahan yang baik pada Piala Dunia tiga tahun lalu - lebih baik daripada Jerman jadi saya rasa mereka ada peluang.

"Kalau mereka beraksi pada tahap tertinggi, mereka boleh menewaskan Jerman. 

"Jerman pun sudah bersedia untuk menang menentang mana mana lawan sekalipun."

Post a Comment

0 Comments