Header Ads Widget

Kroos 'bidas' kritikan penyokong Jerman.

Toni Kroos menepis kritikan sebilangan penyokong yang menyatakan pasukan Jerman di Euro 2020 masih belum mencapai tahap prestasi terbaik meskipun mara ke pusingan kalah mati untuk bertemu England.

Keputusan seri 2-2 dengan Hungary, pada Rabu lalu membolehkan Jerman mara selaku naib juara Kumpulan F bersama juara dunia, Perancis dan Portugal.

Kroos berkata, ia adalah satu pencapaian untuk mara daripada satu kumpulan yang diisi pasukan yang kuat dan selepas ini dijadual bertemu England di Wembley, Rabu nanti.

"Kami gembira dapat mara daripada kumpulan ini, yang mana tidak semua orang menyangka yang kami mampu melakukannya," kata Kroos. 

Kroos turut bingung dengan kritikan yang menggambarkan pasukan Jerman seolah-olah bergelut dengan Hungary, empat hari selepas pasukan itu meraikan kejayaan menewaskan Portugal 4-2.

Justeru, dia menggambarkan reaksi penonton itu seperti 'bendera kecil yang ditiup angin'.

"Selepas menang ke atas Portugal, kamu mungkin berfikir yang kami juara Eropah. 

"Sekarang ini seolah-olah kami tidak layak melangkah lebih jauh pula."

Jerman bangkit daripada ketinggalan dua gol ketika menentang Hungary dan berada di ambang penyingkiran sebelum Leon Goretzka menyamakan kedudukan, enam minit sebelum tamat perlawanan.

"Kami tidak meletakkan satu prestasi yang sangat konfiden," kata Kroos. 

"Kami tidak perlu memperbodohkan diri kami. Ia sangat hampir."

Begitupun, dia menegaskan yang Jerman layak untuk bertemu England dalam pemburuan tempat ke suku akhir dan memberikan amaran kepada sesiapa yang meragui kemampuan pasukan. 

"Kami berada dalam 16 terbaik - sama ada kamu menyukainya atau tidak."

Kroos jelas teruja untuk bertemu England dengan Jerman mempunyai rekod pertemuan yang baik apabila pasukan memenangi semua empat pertembungan di kejohanan utama sebelum ini di pusingan kalah mati.

"Kami tahu stadium, lawan dan sejarah. 

"Terdapat banyak sebab untuk menantikan perlawanan ini," kata Kroos.

Post a Comment

0 Comments