Header Ads Widget

Itali tidak mahu rekod bersih tercalar.

Walaupun sudah mengesahkan tempat untuk pusingan kalah mati, namun Itali tidak mahu rekod bersih mereka di Euro 2020 tercalar.

Pemain sayap sensasi Itali, Federico Chiesa (gambar diatas) menyeru agar rakan sepasukan berwas­pada dengan ancaman yang boleh diberikan oleh pasukan Wales pada aksi terakhir Kumpulan A saingan Euro 2020 di Stadium Olimpico tengah malam ini.

Sebagai rekod, Itali meraih rekod bersih pada dua saingan peringkat kumpulan selepas meraih kemenangan 3-0 pada pertemuan menentang Switzerland dan Turki, sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun, Itali enggan memandang Wales sebelah mata sekali gus berusaha untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam perlawanan kompetitif antarabangsa sejak kali terakhir dialami pada September 2018.

Kata Chiesa, pasukan Wales memiliki kualiti tersendiri dan mereka juga layak dilabel sebagai antara pilihan untuk mara ke peringkat kalah mati berdasarkan rekod cemerlang beraksi di pusingan separuh akhir pada kempen Euro 2016.

“Kita semua tahu kualiti yang dimiliki oleh pasukan Wales dengan kekuatan fizikal barisan pemain mereka yang boleh memberi kesukaran buat kami. Malah, mereka juga ada dua pemain berkelas dunia seperti (Gareth) Bale dan (Aaron) Ramsey.

“Kedua-dua pemain ini perlu diberikan perhatian kerana mereka berupaya untuk mengubah keputusan perlawanan pada bila-bila masa terutama Ramsey kerana saya telah bersamanya dalam skuad Juventus pada musim lalu dan tahu corak permainannya,” katanya.

Chiesa dan Ramsey ketika bersama Juventus musim lalu.

Sementara itu, Chiesa mengakui tidak terkilan apabila masih belum mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Roberto Mancini pada dua aksi yang lepas, meskipun prestasinya bersama Juventus musim lalu cukup memukau.

“Saya tidak kisah diturunkan dalam skuad utama atau sebagai pemain gantian kerana sedar kualiti serta persaingan dalam pasukan sangat sengit. 

"Sudah tentu jurulatih ada perancangan tersendiri dan saya hanya perlu bersedia,” katanya.

Federico Chiesa difahamkan tidak cergas sepenuhnya setelah menghadapi masalah dalam sesi latihan terakhir dan penampilannya untuk memulakan aksi Itali menentang Wales malam ini masih menjadi tanda tanya.

Post a Comment

0 Comments