Header Ads Widget

Euro 2020: England mahu balas dendam

England akan berdepan Jerman pada perlawanan kalah mati (peringkat 16) saingan Euro 2020.

Jordan Henderson, berkata jawapan Gareth Southgate terhadap kesilapan dilakukannya ketika mengambil penalti pada Euro 96 berdepan Jerman, menunjukkan kekuatan mental yang ada pada generasi ketika ini pada saat mereka bersedia menentang kembali seteru lama itu.

Pengurus England, Southgate berusia 25 tahun apabila dia mengambil sepakan penalti itu yang diselamatkan oleh Andreas Kopke ketika penentuan dimenangi Jerman pada separuh akhir Euro 96 di Wembley.

Ia penamat yang mengecewakan dalam kejohanan itu yang meninggalkan memori pahit buat penyokong England selepas perjalanan dramatik ke kelompok empat terakhir.

Southgate bangkit daripada saat mengecewakan itu untuk mewakili England lapan tahun lagi, melalui karier panjang di Liga Perdana Inggeris bersama Aston Villa dan Middlesbrough, sebelum menyertai barisan pengurusan.

Ketika Jerman akan menentang England di Wembley pada kelompok 16 terakhir Kejohanan Eropah awal pagi Rabu ini, Southgate mempunyai peluang untuk membalas dendam.

Dan pemain tengah England, Henderson percaya contoh ditunjukkan pengurusnya itu adalah sesuatu yang perlu diambil berat menjelang pertembungan besar berkenaan.

"Ia contoh yang bagus. Saya boleh bayangkan perasaan dilaluinya ketika itu," kata Henderson dalam sidang akhbar.

"Perkara seperti itu anda perlu melaluinya, terus bergerak dan menjadi lebih kuat. Jika anda bercakap mengenainya, saya pasti dia akan bercakap perkara yang sama.

"Ramai daripada kita melaluinya dalam hidup. Pada satu ketika dengan bagaimana cara sekalipun, anda akan cuba menjadikan ia sebagai motivasi bagi menjadi lebih baik."

Post a Comment

0 Comments