Header Ads Widget

Benzema kembali temui sentuhan.

Benzema lega hilang tekanan selepas ledak dua gol Perancis.

Karim Benzema dilihat ‘puas’ apabila berjaya meledak gol pertama buat Perancis sekali gus membantu pasukan­nya itu menjuarai peringkat Kumpulan F, Euro 2020 selepas seri 2-2 bertemu juara bertahan, Portugal di Puskas Arena awal pagi semalam.

Penyerang Real Madrid itu disenaraikan semula dalam skuad kebangsaan pada Euro 2020 oleh jurulatih Didier Deschamps selepas lebih lima tahun tersisih daripada aksi antarabangsa susulan dakwaan terbabit dalam jenayah peras ugut.

Kehadiran Benzema dalam skuad Les Bleus turut mendapat kecaman hebat apabila penye­rang berusia 33 tahun tersebut gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan awalnya sejak kembali bersama Perancis yang menjuarai Piala Dunia 2018 tanpa kelibatnya.

Pada saingan tersebut, Benzema dianggap wira apabila meledak dua gol masing-masing menerusi sepakan penalti dan jaringan pada minit ke-47 selepas bijak menewaskan penjaga gol Portugal, Rui Patricio sekali gus meredakan tekanan ke atas dirinya.

“Saya sangat gembira dan bangga dengan keputusan ini. Saya rasa semua orang menanti saat ini.

“Sudah pasti terdapat sedikit tekanan berikutan situasi tersebut tetapi sebagai pemain bolasepak profesional saya perlukan tekanan itu,” katanya.

Sebelum ini, Deschamps dilihat masih belum berpuas hati dengan jentera serangan mereka yang dianggap tumpul apabila sekadar seri 1-1 ketika berdepan Hungary, Sabtu lalu.

 Bagaimanapun, Deschamps tidak pernah meragui kemampuan bintang utama Les Bleus seperti Benzema, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann, malah yakin mereka mampu lakukan kejutan.

“Dia (Benzema) memang menanti jaringan itu sejak bersama pasukan ini. 

"Keyakinan dia juga belum pudar dan begitu juga saya. Kami akan melakukan persiapan untuk berdepan Switzerland selepas ini,” kata Deschamps.

Post a Comment

0 Comments